APABILA
TUHAN MEMBUKAKAN BAGIMU JALAN UNTUK MAKRIFAT, MAKA JANGAN HIRAUKAN
TENTANG AMALMU YANG MASIH SEDIKIT KERANA ALLAH S.W.T TIDAK MEMBUKA JALAN
TADI MELAINKAN DIA BERKEHENDAK MEMPERKENALKAN DIRI-NYA KEPADA KAMU.
Kalam-kalam Hikmat yang
dihuraikan terlebih dahulu mengajak kita merenung secara mendalam
tentang pengertian amal, Qadak dan Qadar, tadbir dan ikhtiar, doa dan
janji Allah s.w.t , yang semuanya itu mendidik rohani agar melihat
kecilnya apa yang datangnya daripada hamba dan betapa besar pula apa
yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Rohani yang terdidik begini akan
membentuk sikap beramal tanpa melihat kepada amalan itu sebaliknya
melihat amalan itu sebagai kurniaan Allah s.w.t yang wajib disyukuri.
Orang yang terdidik seperti ini tidak lagi membuat tuntutan kepada Allah
s.w.t tetapi membuka hati nuraninya untuk menerima taufik dan hidayat
daripada Allah s.w.t.
Orang yang hatinya suci
bersih akan menerima pancaran Nur Sir dan mata hatinya akan melihat
kepada hakikat bahawa Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Mulia, Maha Suci dan
Maha Tinggi tidak mungkin ditemui dan dikenali kecuali jika Dia mahu
ditemui dan dikenali. Tidak ada ilmu dan amal yang mampu menyampaikan
seseorang kepada Allah s.w.t. Tidak ada jalan untuk mengenal Allah
s.w.t. Allah s.w.t hanya dikenali apabila Dia memperkenalkan
‘diri-Nya’. Penemuan kepada hakikat bahawa tidak ada jalan yang terhulur
kepada gerbang makrifat merupakan puncak yang dapat dicapai oleh ilmu.
Ilmu tidak mampu pergi lebih jauh dari itu. Apabila mengetahui dan
mengakui bahawa tidak ada jalan atau tangga yang dapat mencapai Allah
s.w.t maka seseorang itu tidak lagi bersandar kepada ilmu dan amalnya,
apa lagi kepada ilmu dan amal orang lain. Bila sampai di sini seseorang
itu tidak ada pilihan lagi melainkan menyerah sepenuhnya kepada Allah
s.w.t.
Bukan senang mahu
membulatkan hati untuk menyerah bulat-bulat kepada Allah s.w.t. Ada
orang yang mengetuk pintu gerbang makrifat dengan doanya. Jika pintu itu
tidak terbuka maka semangatnya akan menurun hingga boleh membawa kepada
berputus asa. Ada pula orang yang berpegang dengan janji Allah s.w.t
bahawa Dia akan membuka jalan-Nya kepada hamba-Nya yang berjuang pada
jalan-Nya. Kuatlah dia beramal agar dia lebih layak untuk menerima
kurniaan Allah s.w.t sebagaimana janji-Nya. Dia menggunakan kekuatan
amalannya untuk mengetuk pintu gerbang makrifat. Bila pintu tersebut
tidak terbuka juga maka dia akan berasa ragu-ragu.
Dalam perjalanan mencari
makrifat seseorang tidak terlepas daripada kemungkinan menjadi
ragu-ragu, lemah semangat dan berputus asa jika dia masih bersandar
kepada sesuatu selain Allah s.w.t. Hamba tidak ada pilihan kecuali
berserah kepada Allah s.w.t, hanya Dia yang memiliki kuasa Mutlak dalam
menentukan siapakah antara hamba-hamba-Nya yang layak mengenali
Diri-Nya. Ilmu dan amal hanya digunakan untuk membentuk hati yang
berserah diri kepada Allah s.w.t. Aslim atau menyerah diri kepada Allah
s.w.t adalah perhentian di hadapan pintu gerbang makrifat. Hanya para
hamba yang sampai di perhentian aslim ini yang berkemungkinan menerima
kurniaan makrifat. Allah s.w.t menyampaikan hamba-Nya di sini adalah
tanda bahawa si hamba tersebut dipersiapkan untuk menemui-Nya. Aslim
adalah makam berhampiran dengan Allah s.w.t. Sesiapa yang sampai kepada
makam ini haruslah terus membenamkan dirinya ke dalam lautan penyerahan
tanpa menghiraukan banyak atau sedikit ilmu dan amal yang dimilikinya.
Sekiranya Allah s.w.t kehendaki dari makam inilah hamba diangkat ke
Hadrat-Nya.
Jalan menuju perhentian
aslim iaitu ke pintu gerbang makrifat secara umumnya terbahagi kepada
dua. Jalan pertama dinamakan jalan orang yang mencari dan jalan kedua
dinamakan jalan orang yang dicari. Orang yang mencari akan melalui jalan
di mana dia kuat melakukan mujahadah, berjuang melawan godaan hawa
nafsu, kuat melakukan amal ibadat dan gemar menuntut ilmu. Zahirnya
sibuk melaksanakan tuntutan syariat dan batinnya memperteguhkan iman.
Dipelajarinya tarekat tasauf, mengenal sifat-sifat yang tercela dan
berusaha mengikiskannya daripada dirinya. Kemudian diisikan dengan
sifat-sifat yang terpuji. Dipelajarinya perjalanan nafsu dan melatihkan
dirinya agar nafsunya menjadi bertambah suci hingga meningkat ke tahap
yang diredai Allah s.w.t. Inilah orang yang diceritakan Allah s.w.t
dengan firman-Nya:
Dan
orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi
kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke
jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh
keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah
beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. ( Ayat 69 : Surah al-‘Ankabut )Wahai
manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat – (menjalankan keadaan
hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada
Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang telah engkau
usahakan itu (tercatit semuanya). (Ayat 6 : Surah al-Insyiqaaq )
Orang yang bermujahadah
pada jalan Allah s.w.t dengan cara menuntut ilmu, mengamalkan ilmu yang
dituntut, memperbanyakkan ibadat, berzikir, menyucikan hati, maka Allah
s.w.t menunjukkan jalan dengan memberikan taufik dan hidayat sehingga
terbuka kepadanya suasana berserah diri kepada Allah s.w.t tanpa
ragu-ragu dan reda dengan lakuan Allah s.w.t. Dia dibawa hampir dengan
pintu gerbang makrifat dan hanya Allah s.w.t sahaja yang menentukan
apakah orang tadi akan dibawa ke Hadrat-Nya ataupun tidak, dikurniakan
makrifat ataupun tidak.
Golongan orang yang
dicari menempuh jalan yang berbeza daripada golongan yang mencari. Orang
yang dicari tidak cenderung untuk menuntut ilmu atau beramal dengan
tekun. Dia hidup selaku orang awam tanpa kesungguhan bermujahadah.
Tetapi, Allah s.w.t telah menentukan satu kedudukan kerohanian
kepadanya, maka takdir akan mengheretnya sampai ke kedudukan yang telah
ditentukan itu. Orang dalam golongan ini biasanya berhadapan dengan
sesuatu peristiwa yang dengan serta-merta membawa perubahan kepada
hidupnya. Perubahan sikap dan kelakuan berlaku secara mendadak. Kejadian
yang menimpanya selalunya berbentuk ujian yang memutuskan hubungannya
dengan sesuatu yang menjadi penghalang di antaranya dengan Allah s.w.t.
Jika dia seorang raja yang beban kerajaannya menyebabkan dia tidak mampu
mendekati Allah s.w.t, maka Allah s.w.t mencabut kerajaan itu
daripadanya. Terlepaslah dia daripada beban tersebut dan pada masa yang
sama timbul satu keinsafan di dalam hatinya yang membuatnya menyerahkan
dirinya kepada Allah s.w.t dengan sepenuh hatinya. Sekiranya dia seorang
hartawan takdir akan memupuskan hartanya sehingga dia tidak ada tempat
bergantung kecuali Tuhan sendiri. Sekiranya dia berkedudukan tinggi,
takdir mencabut kedudukan tersebut dan ikut tercabut ialah kemuliaan
yang dimilikinya, digantikan pula dengan kehinaan sehingga dia tidak ada
tempat untuk dituju lagi kecuali kepada Allah s.w.t. Orang dalam
golongan ini dihalang oleh takdir daripada menerima bantuan daripada
makhluk sehingga mereka berputus asa terhadap makhluk. Lalu mereka
kembali dengan penuh kerendahan hati kepada Allah s.w.t dan timbullah
dalam hati mereka suasana penyerahan atau aslim yang benar-benar
terhadap Allah s.w.t. Penyerahan yang tidak mengharapkan apa-apa
daripada makhluk menjadikan mereka reda dengan apa sahaja takdir dan
lakuan Allah s.w.t. Suasana begini membuat mereka sampai dengan cepat ke
perhentian pintu gerbang makrifat walaupun ilmu dan amal mereka masih
sedikit. Orang yang berjalan dengan kenderaan bala bencana mampu sampai
ke perhentian tersebut dalam masa dua bulan sedangkan orang yang mencari
mungkin sampai dalam masa dua tahun.
Abu Hurairah r.a menceritakan yang beliau r.a mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang
maksudnya:
Allah berfirman: “ Apabila
Aku menguji hamba-Ku yang beriman kemudian dia tidak mengeluh kepada
pengunjung-pengunjungnya maka Aku lepaskan dia dari belenggu-Ku dan Aku
gantikan baginya daging dan darah yang lebih baik dari yang dahulu dan
dia boleh memperbaharui amalnya sebab yang lalu telah diampuni semua”.
Amal kebaikan dan
ilmunya tidak mampu membawanya kepada kedudukan kerohanian yang telah
ditentukan Allah s.w.t, lalu Allah s.w.t dengan rahmat-Nya mengenakan
ujian bala bencana yang menariknya dengan cepat kepada kedudukan
berhampiran dengan Allah s.w.t. Oleh yang demikian tidak perlu
dipersoalkan tentang amalan dan ilmu sekiranya keadaan yang demikian
terjadi kepada seseorang hamba-Nya.
0 comments:
Post a Comment